Sunday, 28 February 2016

KAMPUNG SKIO.. KAMPUNG HALAMANKU..


 Kampung Skio merupakan sebuah perkampungan bidayuh yang terletak di daerah Bau,Sarawak. Saya akan menceritakan sedikit tentang asal usul Kampung Skio. Pada zaman dahulu, kampung skio mendapat nama melalui kehadiran burung Tiung(manuk Kiow) yang selalu hinggap di atas pokok "do'oh" di kampung ini dan burung-burung tersebut berbunyi "kiow". Tetapi, pokok "do'oh" tidak lagi wujud sekarang dan burung-burung tersebut dikatakan hampir pupus. Akhirnya, nenek moyang pada zaman dahulu menamakan kampung ini sebagai kampung skio atas kehadiran burung-burung Tiung tersebut.

Seterusnya, saya juga akan menceritakan asal usul kewujudan Kampung Skio. Nenek moyang pada zaman dahulu dikatakan menziarahi saudara-mara mereka di sebuah tempat pergunungan.gunung tersebut dinamakan "Dorod Romin". Kawan-kawan nak tahu apa yang terjadi? Terdapat satu kewujudan makhluk ghaib yang dinamakan "buaw"(sejenis makhluk yang menyerupai manusia). makhluk ghaib tersebut dikatakan berada di kampung Oguong yang berdekatan dengan "Dorod Romin". Makhluk tersebut menyuruh penduduk yang berada di Kampung Oguong menguburkan biji matanya dan terdapat satu keajaiban yang berlaku. Kampung tersebut bertukar menjadi batu setelah biji mata makhluk tersebut dikuburkan.(mungkin ada lagi cerita yang berbeza tentang kewujudan asal kampung ini) 

Selain itu, penduduk yang berada di "Dorod Romin" tersebut dikatakan bercucuk tanam di kawasan kampung ini dan menjadikan Kampung Skio sebagai kampung asal mereka. Semua penduduk tersebut datang dari "Dorod Romin" dan masing-masing menamakan serta membahagikan tempat tersebut untuk dijadikan sebuah perkampungan asal mereka sehingga sekarang. Kini, terdapat beberapa buah kampung seperti kampung Merembeh, Skio, dan Sogoh yang merupakan kampung-kampung yang wujud setelah nenek moyang datang untuk bercucuk tanam di kawasan ini pada zaman dahulu.


Pada hari ini, Kampung Skio telah banyak berubah menjadi sebuah perkampungan bidayuh yang maju di antara beberapa buah kampung di daerah Bau ini. Walaubagaimanapun, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh penduduk kampung ini kerana arus kemodenan yang kian mencabar mentaliti kita sendiri. Kampung ini memiliki lebih kurang seramai 80 buah keluarga. Seterusnya, kampung Skio juga telah banyak melahirkan anak muda yang bekerjaya sehingga sekarang. Selain itu, bertambah lagi satu kampung baru yang juga merupakan kampung Skio iaitu Kampung Biried. Terdapat beberapa buah rumah yang baru dibina di kampung ini dan ianya memberi perubahan yang sangat baik kepada kampung Skio kerana pertambahan penduduk tersebut dapat mewujudkan keharmonian dan hubungan persaudaraan yang erat dalam kampung ini. Banyak juga golongan muda yang pergi merantau di tempat orang untuk mencari rezeki masing-masing. Pada musim Gawai dan Krismas, mereka tetap balik ke kampung halaman untuk menyambut perayaan tersebut bersama-sama dengan ahli keluarga dan penduduk kampung.

Pada 13 Mac 2013, Kampung Skio telah mencipta satu sejarah baru iaitu sebutir bom jenis mortar yang masih aktif telah ditemui di kampung ini. Bom tersebut dipercayai digunakan pada zaman konfrontasi suatu ketika dahulu. kawan-kawan boleh melayari http://www.theborneopost.com/2013/03/13/bom-ditemui-di-kampung-skio/ untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang peristiwa tersebut.

Pada tahun 2016, Kampung Skio sekali lagi dilanda banjir besar sehingga menyebabkan beberapa penduduk kampung terpaksa berpindah ke tempat yang diarahkan seperti Dewan Serbaguna Kampung Skio.

                                                       



Dari segi aktiviti kemasyarakatan, penduduk Kampung Skio memberi kerjasama yang baik antara satu sama lain. Aktiviti kemasyarakatan yang selalu diadakan di kampung ini ialah aktiviti gotong-royong. Contohnya, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan St.Edward dan membersihkan kawasan gereja merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang wajib dilakukan oleh penduduk Kampung Skio sama ada sebulan atau dua bulan sekali. Di samping itu, aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti keagamaan, aktiviti sukan, dan aktiviti anjuran kampung( majlis makan malam, aktiviti untuk musim krismas serta hujung tahun dan sebagainya) juga memberi galakkan yang positif dari penduduk kampung ini. Contohnya, Kampung Skio telah melahirkan golongan remaja yang mempunyai bakat dalam aktiviti sukan terutamanya sukan bola sepak.

   
komuniti ini sering mewakili kampung skio dalam perlawanan bola sepak Piala Bengoh dan Mambong yang dianjurkan oleh YB James Dawos dan Jerip Susil.                                                                                                                  


                                       


Gambar-gambar yang dipaparkan di atas merupakan aktiviti kemasyarakatan iaitu aktiviti keagamaan yang telah diadakan di gereja St.Edward kampung skio pada dua tahun yang lepas. Seminar tersebut turut diiringi oleh Padri John Chong. Seminar ini telah diadakan bersama-sama umat Kristian Zon Serembu dan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara umat Kristian agar sentiasa mentaati ajaran Tuhan serta berpegang kepada agama Kristian.


Program Usahawan Jaya(Membara) Zon Serembu& Penyerahan Insentif Pelajar Cemerlang Zon Serembu.



                                         Kem I Want & 10,000 langkah Peringkat Daerah Bau.




Seterusnya, saya juga turut melihat satu kemajuan Kampung Skio dari segi aktiviti kemasyarakatan. persatuan RELA telah ditubuhkan pada beberapa tahun yang lalu. Pertubuhan persatuan ini telah memberikan galakkan yang positif kerana beberapa orang penduduk Kampung Skio turut menjadi salah satu anggota RELA Kampung Skio. Persatuan RELA ditubuhkan kerana persatuan ini berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan keamanan kampung. Contohnya, persatuan ini akan menjalankan tugas mereka apabila ada majlis-majlis formal yang diadakan di kampung ini. Oleh itu, saya sebagai penduduk kampung ini berasa bangga dengan pertubuhan persatuan RELA Kampung Skio tersebut.                                                                                                                                                        
                                                                                                                                                    
Gambar-gambar di bawah menunjukkan golongan remaja kampung Skio yang bergiat aktif dalam seni kebudayaan. Ahli-ahlinya ialah Patricia Clare, Magdalene Beba, Monica Fencylia, Monica Camellia, Anna Melvina, Magdeline Dee, Beatrice Elvina, Mary Chris, dan Nini. Penglibatan mereka dalam seni kebudayaan ini bukan sahaja memupuk minat dan bakat mereka tetapi ianya juga dapat dijadikan salah satu hobi yang berfaedah. Selain itu, tarian tradisional ini penting untuk dipersembahkan dan diwarisi oleh golongan remaja agar tarian tradisional bidayuh ini tidak dilupakan begitu sahaja. Harapan saya agar anak muda Kampung Skio terutamanya anak gadis terus mengekalkan dan melibatkan diri dalam seni kebudayaan ini.










Gambar yang seterusnya adalah Persatuan Biro Wanita Kampung Skio. Persatuan ini ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan semangat perpaduan di kalangan wanita-wanita Kampung Skio. 

Gambar di bawah merupakan ahli-ahli Biro Wanita Kampung Skio.

Gambar yang berikutnya ialah Lawatan Biro Wanita pada tahun 2014.








Dari segi kemudahan awam, Kampung Skio telah mencapai tahap kemajuan yang memuaskan kerana terdapat beberapa kemudahan awam yang telah disediakan di kampung ini. Dewan Serbaguna, Pusat Internet 1 Malaysia(PI1M), Kedai Koperasi, dan Padang Bola Sepak antara kemudahan-kemudahan awam yang sudah disediakan di Kampung Skio dan akan memudahkan penduduk kampung untuk menikmati kemudahan awam yang sedia ada.



Gambar di atas menunjukkan dewan serbaguna Kampung Skio. Dewan serbaguna merupakan kemudahan awam yang selalu digunakan oleh penduduk kampung untuk mengadakan sidang mesyuarat, majlis perkahwinan, dan sebagainya. Oleh itu, dewan serbaguna ini amat penting kepada penduduk Kampung Skio.



Gambar-gambar yang berikut merupakan kemudahan awam yang baru dibina di Kampung Skio dan mula beroperasi pada tahun 2013. PI1M ini bertapak di balai raya Kampung Skio yang lama. Kini, Kampung Skio telah terpilih untuk mendapat projek USP(Universal Service Provision) ini dan PI1M tersebut merupakan kemudahan awam yang amat penting kepada penduduk kampung. Di samping itu, Kampung Skio juga salah satu kampung yang menikmati rangkaian KTW(Kampung Tanpa Wayar) di daerah Bau ini. Saya sebagai penduduk kampung berasa amat beruntung kerana kewujudan PI1M ini memberi manfaat yang banyak kepada semua penduduk kampung. Selain itu, penduduk kampung juga tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk pergi ke bandar semata-mata untuk mengakses internet. Seterusnya, perkhidmatan PI1M telah memudahkan penduduk kampung untuk menyelesaikan urusan kerja, mencari maklumat dalam internet, dapat meningkatkan pengetahuan yang luas mengenai IT, dan sebagainya. Objektif utama PI1M ini ialah untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar. Harapan saya agar kemudahan awam ini terus beroperasi dan penduduk kampung dapat menggunakan kemudahan awam ini dengan sebaik-baiknya.







Gambar yang berikut merupakan aktiviti kebersihan dan keceriaan yang dijalankan oleh komuniti Kampung Skio.



Dari segi kegiatan ekonomi masyarakat, penduduk Kampung Skio hanya menjalankan aktiviti pertanian di kawasan kampung. Penduduk kampung terutamanya golongan tua sahaja yang masih bergiat dalam aktiviti pertanian ini untuk mencari rezeki. Pada zaman dahulu, penduduk kampung ini hanya menoreh getah, menanam padi, dan bercucuk tanam bagi menyara kehidupan seharian. Hasil yang diperolehi akan dijual kepada penjaja di kampung ini. Kini, generasi muda sudah berpeluang untuk mencari rezeki di bandar dan banyak yang sudah bekerjaya.

Gambar-gambar di bawah merupakan Kursus Teknologi Tanaman Nanas yang dijalankan di Kampung Skio pada Tahun 2015.














Kampung skio juga melahirkan generasi yang berbakat dalam seni muzik dari zaman dahulu kala lagi. Disini saya akan menceritakan satu kisah seorang moyang yang membuat cadangan untuk membeli alat muzik dengan tujuan untuk menyerlahkan bakat dalam seni muzik di Kampung Skio. Akhirnya, dia bersama kawan-kawannya menubuhkan sebuah kumpulan muzik yang dinamakan 'Gelap Gelita'.



Kini, anak jati Kampung Skio masih meneruskan bakat mereka dalam seni muzik. kalau dahulu gelap gelita tetapi sekarang wujud sebuah lagi kumpulan muzik yang dinamakan kumpulan Megaforce. Kumpulan Megaforce merupakan kumpulan muzik Bidayuh yang popular di Bau. Ahli-ahlinya ialah Michael Frezar, Stephen Usup, Linda Jaba, Awut, Dorin, Andrew Pokas, dan Ajiew. Kini, terdapat ahli baru iaitu Martin Glenzer, Hillary Tiyei, Marco, dan Dale. Seterusnya, kumpulan Megaforce juga turut mengeluarkan album mereka sebanyak dua kali setakat ini. Lagu "Bunga Kupuo" ialah lagu yang paling digemari oleh penduduk kampung mahupun orang luar yang mengenali kumpulan ini. Lagu "Bunga Kupuo" dicipta dan dinyanyikan sendiri oleh Michael Frezar iaitu penyanyi kumpulan Megaforce. Harapan saya agar anak jati kampung skio ini meneruskan bakat mereka dalam seni muzik Bidayuh.

Saya akan mempromosi album Kumpulan Megaforce kepada kawan-kawan yang belum pernah mendengar lagu Bidayuh dari Kampung Skio, Bau. 



Gambar no.1 merupakan album pertama mereka.  
  1. Opening (promotion)
  2. Bunga Kupuo (M. Frezar)
  3. Bala Dingan (M. Frezar)
  4. Parik Nudu Oku (M. Frezar)
  5. Sino (M. Frezar)
  6. Jokkeh Muu (Stephen Usup&Linda Jaba)
  7. Joget Bidapod Bauh (Stephen Usup&Linda Jaba)
  8. Pingidipku (Linda Jaba)
  9. Rami Gawea Dayak (Stephen Usup)




Gambar no.2 merupakan album kedua mereka. 
  1. Nasip Bunga (M. Frezar)
  2. Oboh Nusud (Stephen Usup)
  3. Rami Dari dayung (Linda Jaba)
  4. Muu Birubah (M. Frezar )
  5. Bidapod daang Primoh ( Stephen Usup )
  6. Oku Nogap Otin ( Linda Jaba)
  7. Lee Gaya (M. Frezar)
  8. Joget Pingiposon (Stephen Usup) 
  9. Minat Rock & Roll (M. Frezar)
  10. Dunia Birubah (M. Frezar)




Gambar di atas merupakan ahli-ahli Kumpulan Megaforce.


Tidak lupa juga dengan kuih tradisional Bidayuh seperti kuih Peyek dan Kuih Dam. 


Bidayuh menyebut kuih tradisional ini ialah kuih PEYEK. 

 Selain itu, nenek moyang pada zaman dahulu hanya mengalas perut dengan ubi rebus( BANUNG SIPUN) dan makanan yang ditanam sahaja seperti lauk terung dayak iaitu TIUNG DAYAK.



Sebelum mengundur diri, saya ingin meminta maaf jikalau ada terkasar bahasa. Saya akan memuat turun dengan lebih banyak lagi informasi terkini mengenai Kampung Skio.